Taksonomi Tanaman
Nama Saintifik | Eurycoma longifolia Jack
|
Nama Vernakular | Bedara merah, bedara pahit, bedara puteh, imagifashion lempedu pahit, pasak bumi, payung ali, petala bumi, penawar pahit, tongkat ali, tongkat baginda, setunjang bumi |
Famili | Simaroubaceae |
Genus | Eurycoma |
Species | E. longifolia Jack dan E. apiculata A.W. Bennett |
Penanaman di Ladang
Bagi aktiviti penanaman, saiz lubang yang dicadangkan adalah berukuran 30 cm x 30 cm x 30 cm dan diletakkan baja asas sebanyak 100 g Triple Super Phosphate (TSP), 100 g kapur Ground Magnesium Limestone (GML) dan 50 g baja organik.
Sistem Penanaman
Di habitat semulajadi, tongkat ali didapati tumbuh di bawah naungan. Tanaman ini juga didapati boleh hidup walaupun ditanam secara tunggal dan terdedah terus kepada cahaya matahari. Ia boleh ditanam sebagai tanaman selingan bersama tanaman kelapa, getah dan tanaman kekal.
a) Jarak Tanaman Disyorkan Bagi Sistem Penanaman Tunggal
Pada masa ini masih belum terdapat sebarang pengesyoran tentang jarak tanaman yang optimum. Walau bagaimanapun jarak tanaman yang biasa diamalkan adalah 1 meter dalam barisan dan 2 meter di antara barisan. Jarak ini memberikan kepadatan tanaman 5,000 pokok/ha.
b) Jarak Tanaman Disyorkan Bagi Sistem Penanaman Integrasi
Jarak tanaman di antara dan di dalam baris bagi tanaman tongkat ali adalah bergantung kepada rekabentuk sistem tanaman ataupun pemilihan spesis.
Fertilization
Sehingga kini masih belum terdapat rejim pembajaan untuk pengesyoran tanaman tongkat ali. Walau bagaimanapun sebagai pengesyoran awal, baja dan kadar yang boleh digunakan bagi pokok yang berumur 1 tahun di ladang ialah baja sebatian kimia NPK 15:15:6:4 pada kadar 400 g/pokok setahun pada tahun pertama.
Kadar tersebut akan meningkat apabila pokok tongkat ali semakin membesar iaitu 800 g/pokok pada tahun kedua penanaman, 900 g/pokok pada tahun ketiga penanaman dan 1,200 g/pokok pada tahun keempat penanaman.
Pembajaan diberikan dalam bentuk 4 pecahan setahun pada kadar yang sama mengikut jumlah setiap tahun yang telah disyorkan. Program pembajaan adalah seperti yang dinyatakan di dalam Jadual 1.
Bil. | Umur Tongkat Ali (Tahun) | Jenis Baja | Kadar (g/pokok/tahun) | Pusingan |
1 | 1 | NPK 15:15:6:4 | 400 | 4 Pusingan |
2 | 2 | NPK 15:15:6:4 | 800 | 4 Pusingan |
3 | 3 | NPK 15:15:6:4 | 900 | 3 Pusingan |
4 | 4 | NPK 15:15:6:4 | 1200 | 3 Pusingan |
Jadual 1 : Program pembajaan tanaman tongkat ali
Pengurusan Perosak dan penyakit
Tanaman tongkat ali diperkenalkan kepada umum untuk mengekalkan kelestariannya sebagai satu tanaman herba yang penting di Malaysia. Melalui pemerhatian, tanaman ini kurang mengalami masalah perosak dan penyakit yang serius seiring dengan pengurusan ladang yang baik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perosak dan penyakit dikenalpasti telah menyerang tanaman tongkat ali.
Bagi mengurangkan risiko serangan penyakit dan perosak yang serius, amalan pemantauan dan pengawalan secara berkala harus dititikberatkan.
Pendekatan yang paling praktikal dalam pengurusan perosak adalah secara Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB) yang juga merupakan objektif utama dalam amalan pertanian baik (APB). Kawalan secara mesra alam adalah mengambil kira faktor ekologi, biologi dan amalan agronomi.
Sehingga kini, masih tiada lagi pengesyoran racun kimia bagi kawalan perosak dan penyakit tanaman tongkat ali.
Jenis-jenis perosak dan kawalan
Bil. | Perosak (Nama biasa dan saintifik) | Bahagian serangan dan tanda/simptom | Syor pengurusan Perosak |
1. | Ulat harimau Atteva sciodoxa | Larva ulat harimau sering memakan pucuk dan daun muda dengan agresif. Dalam jumlah yang banyak, ia mampu merosakan pokok sehingga meninggalkan rangka sahaja. Serangan yang serius, terutamanya pada anak benih boleh menyebabkan pertumbuhan terbantut dan mati. Populasi ulat perosak ini meningkat pada musim tertentu, biasanya apabila pokok mula mengeluarkan pucuk muda dan di akhir musim hujan. | Beberapa pendekatan boleh dilakukan bagi mengawal populasi larva perosak ini seperti secara biologi dan mekanikal. Agen biologi komersil seperti kulat entomopatogen Metarhizium anisopliae dan bakteria Bacillus thuringiensis (Bt) boleh digunakan mengikut cadangan pengeluar. Jika populasi ulat perosak tersebut rendah, kawalan secara mekanikal boleh dipertimbangkan. Ia dilakukan dengan mengutip secara manual menggunakan tangan. |
2. | Teritip Coccus viridis | Pokok yang diserang kelihatan pudar dan lama – kelamaan diselaputi sepenuhnya kulapuk hitam. Serangan yang teruk akan mengakibatkan pokok lain yang diselaputi kulapuk hitam. Daun menjadi layu, kering, gugur dan akhirnya tinggal ranting yang telah mati. Perosak ini akan memusnahkan pokok muda pada usia 2 tahun pertama selepas pemindahan anak benih ke kawasan tanaman. | Kaedah kawalan secara kultura adalah dengan memastikan semua anak pokok yang bakal dipindah ke kawasan tanaman diperiksa dengan teliti dan diasingkan sekiranya diserang. Gunakan kawalan secara organik menggunakan campuran bahan air bersih, sabun, minyak neem dan disemburkan di dipermukaan bawah daun |
3. | Ulat pengorek batang Zeuzera sp | Ulat ini dapat dikesan dengan terdapatnya lubang-lubang pernafasan di bahagian dahan pada jarak tertentu. Dari lubang ini keluar lelehan air beserta gumpalan najis (fras) yang selalunya berwarna perang kemerahan. Gumpalan najis juga dapat dilihat di atas tanah di bawah dahan yang diserang. Dahan-dahan kecil yang dikorek menjadi layu dan mati. | Bagi pokok yang rendah, pengawalan dilakukan dengan mencantas dan memusnahkan dahan atau ranting yang diserang. |
4. | Anai-anai Coptotermes sp. | Anai-anai memakan bahagian akar, batang dan dahan yang akan menyebabkan bahagian ini mati. Serangan ini seterusnya akan mengakibatkan pokok mati rosot, daun layu, kuning dan gugur. Pokok yang lemah sering diserang. | Semasa melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan sebelum menanam, adalah disyorkan supaya semua bahan sisa tanaman seperti banir, dahan dan ranting dikutip dan dibakar. Amalan ini dapat mengurangkan kesan serangan serangga dan penyakit termasuk anai-anai. |
Jenis-jenis penyakit dan kawalan
Bil. | Penyakit | penyebab | Simptom | Syor Kawalan |
1. | Antraknos | Kulat Collectotrichum sp. | Bintik kuning pada permukaan daun, lesion dan akhirnya menjadi nekrotik. | Buang dan bakar bahagian yang terkena serangan. |
2. | Jeragat
| Kulat Cladosporium, Aureobasidium, Limacinula, Scorias dan Capnodium | Permukaan daun hitam kelabu dan berkerak seperti dicat. | Buang dan bakar bahagian yang terkena serangan cantasan pada dahan dan kawalan secara organik |
3. | Bintik Alga | Kulat Cephaleuros virescens | Bintik alga leper berwarna hijau kelabu hingga ke warna hijau perang dan kadang kala keperangan. | Buang dan bakar bahagian yang terkena serangan, cantasan pada dahan dan kawalan secara organik. |
4. | Sindrom mati mengejut | Kulat Fusarium sp. dan Lasiodiplodia theobromea | Daun menjadi pudar warna, layu dan mengarah keatas. Daun- daun kemudian menjadi kering dan gugur. Kayu pada bahagian akar dijangkiti akan mengalami perubahan warna kepada kuning keperangan | Kemunculan gejala pada peringkat yang lewat dan agen penyebab yang belum dapat dikenalpasti menyebabkan penyakit ini sukar untuk dirawat. Walaupun begitu, kerebakan penyakit ini dapat dicegah jika keseluruhan pokok yang dijangkiti termasuk sistem akar dimusnahkan secepat mungkin. |